65 tugas menunggu cikgu tahun depan

Muka depan China Press menyiarkan komik yang menunjukkan seorang cikgu pening dengan beban tugas yang semakin banyak.
Tugas sebagai cikgu dijangka bertambah memenatkan apabila Kementerian Pendidikan dikatakan sudah menyenaraikan 65 kerja dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan cikgu mulai 2014.

China Press melaporkan, walaupun cikgu tidak perlu menyiapkan kesemua 65 tugasan, tetapi dianggarkan setiap pendidik masih perlu melaksanakan kira-kira 50 tugas yang disenaraikan.

Sebahagian tugas yang disenaraikan Kementerian Pendidikan dikatakan adalah mengenai pengisian dokumen dan memasukkan data, iaitu tugas yang tidak berkaitan dengan tanggungjawab mengajar murid.

Lebih memenatkan, kira-kira 20 daripada 65 tugasan yang disenaraikan mengkehendaki cikgu melaksanakannya melalui sistem dalam talian iaitu melibatkan penggunaan sistem dalam Internet.

Timbalan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Tey Meng Seng berkata, setiap cikgu dianggarkan perlu melaksanakan 50 daripada 65 tugas yang disenaraikan Kementerian Pendidikan.

"Sebagai contoh, cikgu yang mengajar darjah empat hingga enam perlu mengisi Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS).

"Mereka yang mengajar darjah satu hingga tiga perlu mengisi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS)," katanya kepada China Press.

Katanya, tugas masuk data dalam sistem merupakan kerja yang penat kerana maklumat perlu dikemas kini dalam E-Operasi, Aplikasi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) dan E-Profil.

Meng Seng berkata, beliau tidak faham kenapa Kementerian Pendidikan tidak mewujudkan sistem perkongsian data supaya cikgu tidak perlu mengemas kini data yang sama dalam sistem yang berlainan.

Katanya, Kementerian Pendidikan turut menetapkan tempoh tertentu untuk guru menyiapkan sesetengah tugasan kemas kini data sekali gus menyebabkan ramai cikgu `garu kepala' apabila berdepan sistem yang bermasalah.

"Sesetengah cikgu terpaksa mengorban masa tidur untuk kemas kini data. Apa yang lebih teruk ialah sistem kadang kala bermasalah walaupun pada tengah malam.

"Dalam keadaan ini, mampukah cikgu mempunyai tenaga yang mencukupi untuk mengajar pada keesokan harinya?" tanya Meng Seng.

No comments:

Post a Comment