Isytiharkan UiTM sebagai Universiti Diraja

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) dicadangkan diisytihar sebagai Universiti Diraja UiTM sejajar dengan komitmen kerajaan memperkasa bumiputera dalam bidang pendidikan.

Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) ketika melontarkan cadangan itu berkata, status Universiti Diraja tersebut dapat menghentikan campur tangan pihak tertentu yang cuba menggugat kewujudan UiTM.

Beliau juga yakin perisytiharan sebagai Universiti Diraja itu akan menjamin UiTM terus kekal sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditubuhkan khusus untuk mendidik anak-anak bumiputera.

Selain itu, Irmohizam turut mencadangkan kerajaan mewujudkan Tabung Pendidikan Bumiputera Negara (TPBN) bagi membiayai pengajian khas anak-anak bumiputera melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Tabung ini boleh diletakkan di bawah pengurusan dana di Jabatan Perdana Menteri dan dikhaskan untuk bumiputera yang kurang berkemampuan yang mana ibu bapa mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyokong penuh pelaksanaan program Baucar Buku 1Malaysia khususnya menerusi Bajet 2014.

Katanya, peruntukan sebanyak RM235 juta menerusi program itu mampu memberi manfaat kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang berjumlah kira-kira 1.3 juta orang.

“Dengan baucar tersebut para pelajar dapat menggunakannya untuk membeli buku-buku pilihan mereka sekali gus mampu menambahkan lagi ilmu pengetahuan," katanya.

No comments:

Post a Comment