‘Dah hamil tuduh rogol’

Kota Bharu: Kes jenayah seksual di negeri ini semakin membimbangkan apabila gadis seawal usia 12 tahun dikesan menjadi mangsa rogol.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mengikut statistik jenayah kes rogol sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini di Kelantan, sebanyak 189 kes dicatatkan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, kebanyakan kes membabitkan perbuatan hubungan suka sama suka selain dapat dikesan apabila keluarga mangsa membuat laporan selepas didapati hamil.

“Kita dapat mengesan kes jenayah seksual ini hanya apabila keluarga mangsa membuat laporan dan polis yakin banyak lagi kes berlaku seperti ini yang tidak dilaporkan.

“Malah, ia turut membabitkan hubungan suka sama suka dan hanya dikesan apabila keluarga mangsa membuat laporan selepas mendapati anak mereka hamil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Komuniti di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bandar Baru Tunjung, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman Datuk Rusli Ahmad dan Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Menurut Jalaluddin, berdasarkan statistik mengikut daerah, Kota Bharu mencatat kes tertinggi iaitu 45 kes diikuti Bachok dan Pasir Mas (23) manakala Pasir Puteh dan Tanah Merah (22).

Katanya, pil kuda dikesan menjadi antara penyebab kes rogol di negeri ini meningkat kerana penagih biasanya ingin keseronokan selepas mendapat pil itu dan melepaskan nafsu mereka terhadap wanita.

“Saya sedih apabila mendapati ramai remaja di negeri ini masih lagi di alam persekolahan sudah terbabit dalam jenayah seksual hingga ada terpaksa mengambil peperiksaan ketika hamil.

“Kita meminta ibu bapa serta pihak berkuasa seperti sektor pendidikan supaya menjaga pergerakan remaja supaya jenayah seksual dapat dikawal. Kita perlu beringat sebelum ‘nasi menjadi bubur’,” katanya.

Beliau berkata, statistik menunjukkan sebanyak 10,473 tangkapan dibuat di negeri sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini membabitkan pil kuda.

Katanya, daripada jumlah itu, golongan remaja yang terbabit seramai 2,717 iaitu 25 peratus daripada keseluruhan tangkapan.

No comments:

Post a Comment