Najib harap Tun M pertimbang perletakan jawatannya

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Tun Dr Mahathir Mohamd menimbangkan semula keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Penasihat syarikat minyak negara, Petronas.

Najib berkata, Petronas masih memerlukan khidmat nasihat daripada bekas Perdana Menteri itu demi kelangsungan pembangunan dan kejayaan syarikat itu.

Beliau mengesahkan telah menerima surat perletakan jawatan Dr Mahathir pada Jumaat dan menghormati hasrat negarawan itu.

"Atas nasihat daripada doktor beliau terpaksa mengurangkan penglibatan beliau dalam tugas tugas seharian dan oleh itu telah maklumkan kepada saya bahawa YAB Tun berhasrat melepaskan jawatan sebagai penasihat Petronas.

"Walaubagaimanapun setelah saya fikir atas perkara ini kerajaan berpendapat bahawa amat wajar dan amat sesuai YAB Tun terus berkhidmat sebagai penasihat Petronas kerana beliau mampu untuk terus memberi sumbangan kepada pembangunan dan kejayaan Petronas.

"Oleh itu dalam saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh YAB Tun atas nasihat doktornya. Saya berharap YAB Tun dapat memikirkan semula atas keputusan yang telah dibuat itu.

"Kerajaan mengalu-alukan agar YAB Tun dapat terus berkhidmat sebagai penasihat Petronas," katanya pada satu sidang media khas selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada Isnin, Dr Mahathir mengesahkan peletakan jawatan beliau sebagai Penasihat Petronas selepas mendapat nasihat doktor.

No comments:

Post a Comment