Tak maaf menantu buas

Seremban: “Sebagai ibu, saya tidak akan maafkan menantu atas apa yang dilakukan terhadap anak,” kata Juriah Hashim, 55, ibu kepada Nor Hafazalina Mohd, 30, yang dikelar 18 kali di pipi, bibir, dahi dan tangan hingga menerima 80 jahitan akibat tindakan kejam suaminya itu.

Lebih menyedihkan, anaknya itu kini berdepan risiko buah pinggang rosak dipercayai akibat kekasaran dilakukan suaminya yang berusia lingkungan 30-an.

“Sepatutnya anak boleh keluar dari wad semalam (kelmarin), namun doktor mengesahkan buah pinggangnya berkemungkinan rosak akibat kejadian itu dan kini terpaksa ditahan di wad.

“Saya tidak akan maafkan menantu, malah akan bawa anak ke mahkamah untuk minta fasakh,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, dia tidak dapat menahan sebak melihat kesakitan ditanggung anaknya termasuk kesan luka ditoreh.

“Selama ini saya banyak bersabar dengan menantu. Apa yang dibuat selama ini saya pejamkan mata, namun kali ini mengancam nyawa anak saya.

“Ini tidak boleh diterima akal, malah selepas ini saya akan bawa anak dan dua cucu berusia lapan dan 10 tahun berpindah ke tempat lain demi keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang memburu suspek.

“Kita minta dia serah diri untuk membantu siasatan atau berdepan tindakan diburu polis.

“Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Abdullah Hanafi berkata, kejadian itu dianggap kes jenayah kerana membabitkan kecederaan yang akan disiasat oleh pihak polis.

“Jika bukan kes jenayah, JKM boleh mengambil kes ini mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, namun tiada keperluan pihak kami campur tangan sehingga diminta berbuat demikian oleh polis.

“Bagaimanapun, sebaik kes ini selesai, kita akan melihat keperluan sama ada wanita ini atau anak-anaknya perlu diberi bantuan termasuk bantuan bulanan,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan penderitaan Nor Hafazalina dikelar sebanyak 18 kali oleh suaminya yang juga penagih dadah di sebuah rumah di Ampangan, di sini, Jumaat lalu.

Wanita dua anak itu menerima 80 jahitan akibat tindakan kejam suaminya kira-kira jam 5 petang selepas dia minta diceraikan kerana tidak tahan dengan sikap lelaki terbabit yang tidak bertanggungjawab dan kerap keluar masuk penjara.

No comments:

Post a Comment