'Projek' dalam tandas

Gambar hiasan
Shah Alam: Dua pegawai imigresen masing-masing dijatuhkan hukuman penjara lima dan dua tahun selain didenda RM20,000 seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan rasuah dan bersubahat membenarkan warga Indonesia masuk ke negara ini menggunakan pasport yang tidak mempunyai cop masuk sah.

Hakim M Bakri Abdul Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Nik Azan Nik Man, 31, dan Mohd Hasrul Che Othman, 28, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Nik Azan didakwa memperoleh suapan wang tunai RM800 daripada Abdullah Busahlan, 43, sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap ‘Hendrawan’ dan ‘Amrizal’ dengan kedua-dua lelaki itu memiliki pasport yang tidak mempunyai cop masuk sah.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 24, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dalam tandas Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada jam 2.30 petang, 28 Ogos lalu. Nik Azan juga didakwa menerima wang tunai RM1,850 daripada Abdullah ke dalam akaun CIMB miliknya di Petronas JML Damai, Lot 68501, Persiaran Anggerik Mokara, Taman Kota Kemuning pada jam 9.04 malam, 31 Julai lalu.

Tertuduh juga didakwa menerima wang tunai RM2,350 daripada Abdullah melalui akaun CIMB miliknya di Petronas Malaysia Airport Niaga KLIA 3, Jalan Pekeliling Kargo, pada jam 11.19 pagi, 31 Oktober lalu.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakannya, Mohd Hasrul didakwa bersubahat dengan Nik Azan membenarkan ‘Hendrawan’ dan ‘Amrizal’ masuk sedangkan mereka mempunyai pasport yang tidak memiliki cop masuk sah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kaunter nombor 16, Balai Pelepasan Imigresen LCCT, pada jam 11.45 pagi, 28 Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment